Pada Sukan Komanwel, kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas, namun masih gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 negara terbaik apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12.

Nasib sama turut berlaku pada Sukan Asia walaupun atlet kebangsaan menepati sasaran tujuh pingat emas tetapi malangnya, sasaran menjadi 10 negara terbaik masih tidak kesampaian malah sukan badminton paling gagal sejak edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan.

Bukan rezeki Harimau Malaya julang Piala AFF Suzuki

KEBANGKITAN bergaya skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe meraih tiket ke final selepas menyingkirkan Thailand menerusi keputusan agregat 2-2 (kelebihan jaringan tempat lawan) menyemarakkan semangat Malaysia untuk menjulang trofi Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki buat kali kedua.

Bagaimanapun, cuaca panas yang disangka sampai ke petang, rupa-rupanya hujan pada tengah hari.

Skuad Harimau Malaya gagal menggunakan kelebihan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk mendapatkan bekalan selesa ketika menentang Vietnam apabila sekadar seri 2-2 bagi aksi final pertama.

Pelumba Cub Prix nahas di litar

PEMINAT sukan permotoran negara dikejutkan dengan kematian pelumba Cub Prix, Mohd. Hafiz Nor Azman (gambar) apabila dia terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, 16 Disember lepas.

Kejadian berlaku ketika perlumbaan hanya berbaki satu pusingan untuk dihabiskan daripada 15 pusingan keseluruhan.  

Menteri kecewa dengan situasi NFDP 

KEGAGALAN skuad bawah 16 tahun (B-16) negara melepasi aksi peringkat kumpulan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah membongkar pelbagai isu mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk gaji jurulatih sebanyak RM175,000 sebulan dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bernilai RM85 juta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa kecewa dan berjanji akan siasat sehingga ke lubang cacing memandangkan AMD tidak dibangunkan dengan baik.

Chong Wei disahkan hidapi barah hidung

ARENA sukan negara dikejutkan dengan berita jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menghidap kanser hidung peringkat awal September lalu selepas tidak hadir menjalani latihan selama dua minggu pada Julai lepas.

Bagaimanapun, kebimbangan seluruh peminat sukan tanah air reda apabila Chong Wei disahkan pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Taiwan sebelum pulang ke tanah air Oktober lalu.

Malah, bekas pemain No. 1 dunia itu memberi jaminan akan kembali ke gelanggang latihan Januari depan dalam usahanya untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.