Pada aksi yang berlangsung di Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, regu pertama Malaysia dibarisi oleh Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Muhamad Norhaffizi Abd Razak (perejam) dan Mohd Syazreenaqmar Salehan (pegumpan).

Mereka turun dengan penuh semangat serta mempamerkan aksi terbaik pada awal permainan namun gagal meneruskan rentak apabila tunduk straight set 15-21, 15-21 kepada regu Thailand yang diketuai oleh Assadin Wongyota.

Regu utama negara yang diwakili oleh Muhammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (pengumpan) dan Muhammad Azlan Alias (perejam) turun pada susunan kedua dengan harapan untuk menyumbang mata buat kem negara juga lebur apabila tewas 19-21, 13-21 kepada regu utama Thailand yang diketuai oleh Pornchai Kaokaew.

Bagaimanapun, pencapaian pingat perak skuad sepak takraw itu mengatasi pencapaian pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila mereka memperoleh pingat gangsa.

Kekalahan itu juga menyaksikan Thailand melebarkan pengusaan mereka dalam arena sepak takraw apabila mengekalkan pingat emas sejak 28 tahun lalu. - Bernama