Kali terakhir pemegang 14 kejuaraan utama itu mencatatkan pukulan keramat tersebut adalah pada Kejohanan Sprint International 1998 di Castle Pines Golf Club, Colorado, sekali gus mengumpul keseluruhan 19 pukulan.

Jaguh berusia 42 tahun itu menamatkan pe­nantian selama 20 tahun tersebut pada lubang kedua par tiga di lapa­ngan Kelab The Madison, California, dalam persiapan menjelang Kejohanan Golf Cabaran Dunia Hero minggu ini.

“Ketika saya berada di kemuncak dahulu, saya tak pernah terlepas untuk melakukan pukulan hole-in-one pada setiap tahun. Bagaimanapun, ia memakan masa 20 tahun untuk saya dapatkan semula catatan saya itu.

“Kini, saya sudah me­lakukan 20 pukulan hole-in-one dalam sejarah karier saya, dengan tiga kali dilakukan ketika dalam kejohanan. Sebenarnya, kami tak perasan pun pukulan tersebut terus masuk ke dalam lubang.

“Bagaimanapun, apabila kami tiba di kawasan mendatar, bola saya tidak ada di atasnya. Saya ingat pukulan saya terlalu jauh ke hadapan tetapi seingat saya pukulan saya tidak begitu kuat.

“Kemudian saya lihat ke dalam lubang dan bola saya ada di dalamnya,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf Cabaran Dunia Hero kelmarin. – Agensi