LIN DAN meraikan kejayaan menumpaskan Tien Chen menerusi aksi dramatik lebih sejam pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Lin Dan yang terkenal dengan jolokan Super Dan itu memerlukan masa lebih sejam untuk menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen menerusi kemenangan dramatik 13-21, 21-19, 21-19, sekali gus memburu gelaran kedua Terbuka Malaysia.

Ketika Lin Dan dilihat hampir tersingkir daripada kejohanan susulan ketinggalan 12-19 pada set kedua, namun bekas pemain No. 1 dunia itu menunjukkan semangat juang tinggi apabila mengutip mata demi mata sebelum menang 21-19.

Kemenangan itu nyata membakar semangat Lin Dan untuk menampilkan aksi lebih baik pada set penentuan dan dia berjaya menempah slot ke pusingan kedua apabila sekali lagi mencatat kemenangan tipis 21-19.

Sementara itu, beregu campuran dari China yang juga pilihan kedua kejohanan, Wang Yilyu-Huang Dongping terpaksa berhempas pulas sebelum memastikan tempat ke pusingan kedua menerusi kemenangan 17-21, 21-19, 21-19 ke atas wakil Taiwan, Wang Chi Lin-Cheng Chi Ya.

Yilyu-Dongping yang juga beregu No. 2 dunia itu memerlukan masa hampir sejam bagi memastikan tempat ke pusingan kedua dan dijadualkan bertemu gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari pada aksi hari ini.

Pada masa sama, pemain perseorangan wanita No. 1 India, P.V. Sindhu turut menepati ramalan mara ke pusingan seterusnya apabila mudah menyingkirkan pemain Jepun, Aya Ohori menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-12.

Meskipun pertemuan antara kedua-dua pemain itu dijangka berlangsung sengit dan bakal berlarutan lebih sejam, namun Sindhu yang juga juara Jelajah Dunia Akhir tahun lalu hanya memerlukan tempoh 38 minit untuk menewaskan Ohori.

Pada pusingan kedua hari ini, Sindhu dijangka berdepan tugas sukar apabila dijadualkan bertemu pemain No. 10 dunia dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun yang turut menewaskan wakil Indonesia, Fitriani Fitriani 21-15, 21-15.