Skuad Samurai Biru ketinggalan 1-4 pada suku kedua dan 2-5 dalam suku terakhir sebelum Kentaro Fukuda, Kenta Tanaka dan Koji Yamasaki meledak tiga gol dalam tempoh tujuh untuk mengikat kedudukan 5-5.

Malaysia kembali mendahului 6-5 menerusi ledakan hatrik Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-59 sebelum Jepun melakukan magis dengan menya­makan kedudukan 6-6 ketika permainan berbaki 13 saat untuk tamat.

Ketua Jurulatih Jepun, Siegfried Aikman bangga dengan komitmen dan ketahanan mental tinggi ditunjukkan anak-anak buahnya untuk memastikan sejarah baharu Jepun tercipta dengan memenangi pingat emas buat kali pertama sejak acara hoki dipertandingkan pada Sukan Asia 1958 di Tokyo.

“Semangat samurai bermaksud kamu tidak akan sesekali mengalah dalam apa jua keadaan. Ia terbukti dalam perlawanan malam ini (kelmarin),” katanya.

Pencapaian terbaik Jepun yang merupakan tuan rumah Sukan ­Olimpik 2020 di Tokyo pada Sukan Asia ialah meraih pingat gangsa dua kali berturut-turut pada edisi 1966 dan 1970, kedua-duanya diadakan di Bangkok, Thailand.

Sementara itu, juara bertahan, India terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas menewaskan musuh tradisi, Pakistan 2-1 pada penentuan tempat ketiga dan empat. – Agensi