Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi memimpin sejumlah 115 atlet negara menyertai perarakan masuk ke venue utama Sukan Asia 2018 itu dengan mengenakan busana berwarna putih, kuning dan hitam yang mengambil inspirasi Harimau Malaya.

Sementara itu, ratu karate kebangsaan, Syakilla Salni Jefry Krisnan pula menggalas tugas sebagai pemegang Jalur Gemilang.

Antara tetamu kehormat Malaysia yang hadir pada acara perasmian tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Berakhirnya acara pembukaan penuh gilang-gemilang malam tadi, bermakna kerja keras atlet-atlet Malaysia untuk memburu pingat juga bermula secara rasmi hari ini sehingga temasya berakhir pada 2 September depan.

Dalam pada itu, pungutan emas pertama Malaysia mungkin hadir menerusi sukan boling dalam acara berpasukan wanita dengan aksi dijadualkan berlangsung di Palembang.