Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Ab. Aziz berkata, kemenangan 3-2 itu adalah hasil komitmen dan keazaman tinggi ditunjukkan anak-anak buah­nya pada perlawanan tersebut.

“Sebenarnya kita sangat ter­desak untuk dapatkan kemenangan dan kita tahu ada sedikit isu dalam pasukan tetapi ia dapat diselesaikan dan saya amat berterima kasih kepada semua pemain.

“Kita mungkin mempunyai kekurangan tetapi komitmen dan kesungguhan pemain pada malam ini (kelmarin) sangat hebat,” kata­nya selepas perlawanan tersebut kelmarin.

Ketika ditanya kehadiran se­mula pemain tengah Helang Merah, Liridon Krasniqi yang beraksi selepas dibelenggu kecede­raan mengubah rentak permainan sehingga Kedah memperoleh kemenangan, beliau berkata, kejayaan me­ngutip tiga mata penuh itu adalah hasil penca­paian berpasukan bukan individu.

“Kemenangan ini adalah hasil kerja keras setiap pemain termasuk ketika menjalani latihan, bukan hanya disebabkan Liridon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih MISC-MIFA, K. Devan mengakui pasukan kendaliannya melakukan beberapa kesilapan kecil terutama di bahagian pertahanan yang akhirnya memberi peluang kepada pasukan tuan rumah menjaringkan gol.

“Kita berjaya kekalkan rentak permainan apabila mendahului 1-0 tetapi Kedah memang berpengalaman dan beraksi dengan baik selain nasib tidak menyebelahi kita, mereka menang,” katanya.