Difahamkan, mereka merasakan ia adalah langkah terakhir untuk mencari jalan penyelesaian selepas proses mediasi seperti termaktub dalam perlembagaan MPM yang telah dijalankan bulan lalu gagal mencapai kata putus.

Presiden Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia, Mejar Azhari Abdullah berharap kemelut berkenaan berakhir secepat mungkin supaya proses pemilihan badan induk berkenaan dapat dijalankan dengan baik tanpa berdepan sebarang isu yang tidak diingini.

“Pihak pengurusan MPM akan berdepan banyak tugas selepas ini terutama menjelang Sukan Para ASEAN tahun depan. Jadi tidak manis bagi orang luar jika ia terus begini kerana ini melibatkan nama baik MPM,” katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Para Malaysia, S. Kumarasamy menyifatkan kemelut tersebut akan merugikan banyak pihak sekiranya ia tidak diselesaikan dalam kadar segera.

“Sebagai ahli gabungan, kami cuma mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin supaya ia tidak perlu tangguh lebih lama lagi,” jelasnya.

Drama pemilihan MPM tercetus selepas terdapat keraguan terhadap borang pencalonan calon presiden iaitu bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sehingga menimbulkan rasa kurang senang seorang lagi calon jawatan itu, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

Disebabkan itu, MPM membuat keputusan untuk menangguhkan AGM ke-22 pada 29 Jun lalu. - K! ONLINE