Katanya, sebagai Juara Asia, beliau menyimpan sasaran untuk bersaing di peringkat lebih tinggi dan akan bertemu dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi menyemak status kelayakannya bagi menyertai pertandingan berprestij itu.

"Kejayaan ini memberi semangat kepada saya untuk bersaing di kejohanan dunia, namun keputusan akhir mengenai terletak di tangan PKBM," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari Myanmar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ketibaan Norhasmat, yang juga seorang pegawai di Kementerian Kewangan, disambut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz serta beberapa kakitangan kementerian daripada Kelab Sukan Perbendaharaan.

Pada kejohanan di Nay Pyi Taw itu, Norhasmat, 43, muncul juara selepas menamatkan perlumbaan sejauh 36 kilometer dengan masa 46 minit 46.915 saat mengatasi pelumba Iran, Sayed Mehdi Mirbagheri Firoozabadi dan pelumba Mongolia, Purevsren Khuyagt.

Kemenangan itu membolehkan beliau memperbaiki pretasinya yang menang perak dalam perlumbaan sama pada 2017, sekali gus melunaskan dendamnya yang tewas di tangan Sayed Mehdi, sebelum ini.

Norhasmat berkata, beliau berazam mempertahankan pingat emas yang dimenanginya kali ini pada kejohanan sama yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand tahun depan.

Sementara itu, Othman berkata, kemenangan Norhasmat yang bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Dasar dan Pelaksanaan GST) Bahagian Cukai membawa erti yang cukup besar kepada Kementerian Kewangan selaku majikan.

Beliau berkata, kejayaan bergelar Juara Asia adalah setimpal dengan pengorbanan Norhasmat yang berlatih mengayuh lebih 100 kilometer setiap hari selama dua bulan sebelum menyertai kejohanan tersebut.

"Ini membuktikan walaupun sibuk dengan tugasan seharian, penjawat awam juga mampu mencipta kebangggan buat negara sekiranya ada kemahuan," katanya. - Bernama