Katanya, barisan pemain sudah mengerti kelemahan pada aksi pembukaan liga menentang Felda United yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 minggu lepas kerana sikap gopoh dan terburu-buru mencari gol.

“Saya sudah melakukan penilaian dan aspek yang perlu diperbaiki untuk aksi kedua menentang PJ City esok (malam ini) ialah para pemain perlu kekal tenang dalam merencanakan serangan.

“Persiapan yang kami lakukan sepanjang sesi latihan minggu ini juga berlangsung positif tetapi sejak dua hari lepas, barisan pemain telah dijangkiti virus se­lesema.

“Namun, ia tidak terlalu serius dan saya percaya kesebelasan terbaik akan dapat diturunkan pada perlawanan penting itu nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sathianathan turut mengakui pasukannya tidak boleh memandang rendah keupayaan skuad kendalian K. Devan itu meskipun baru dinaikkan pangkat daripada Liga Premier ke Liga Super musim ini.

“Secara keseluruhan, saya lihat pasukan PJ City memiliki kualiti lebih baik berbanding Felda Uni­ted memandang pemain import mereka dilihat mampu mengubah perlawanan pada bila-bila masa.

“Ia berdasarkan pemerhatian saya terhadap dua pemain import mereka iaitu Pedro Henrique dan Bae Beom-geun dilihat mampu memberi kesukaran kepada pasukan lawan,” katanya.