Selangor belum mengutip sebarang mata setelah mengharungi tiga perlawanan apabila tewas 0-3 kepada kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) seterusnya 0-2 kepada Pahang dan terakhir 1-2 kepada Sabah ketika beraksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Pengendali berusia 36 tahun itu mengharapkan pemainnya dapat memanfaatkan baki tiga perlawanan sebagai platform terbaik buat mereka untuk mempertahankan maruah Se­langor musim ini.

“Secara kasar­nya di atas kertas kami memang mempunyai peluang yang tipis melangkah ke peringkat sete­rusnya, namun semuanya masih belum terlambat buat pasukan.

“Kita perlu tahu dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti mana kami dihukum dengan dua jaringan pasukan Sabah dalam tempoh enam minit pada penghujung perlawanan biarpun Selangor seakan-akan akan memperoleh tiga mata pertama di Kota Kinabalu.

“Tiga aksi terakhir selepas ini adalah pentas terbaik kepada kami untuk mencipta kejutan biarpun pasukan berdepan masalah konsistensi tetapi ia adalah masa yang paling sesuai untuk kami mempertahankan maruah Gergasi Merah yang sangat sinonim dengan kempen Piala Malaysia,” kata­nya.

Sementara itu, Nazliazmi menganggap cabaran yang dihadapi mampu mematangkannya biarpun pasukan dilihat tidak seimbang dari segi posisi pada setiap perlawanan.

“Saya melihat setiap minggu kami berdepan masalah yang berbeza daripada segi posisi kerana pemain tidak mampu mengekalkan rentak terbaik yang pernah mereka pamerkan sebelum ini.

“Bagaimanapun saya tetap percaya mereka dapat bersama saya untuk memperbaiki segala kelemahan kerana kami perlu sedar kemenangan dalam semua aksi yang masih berbaki adalah penting bagi melayakkan diri ke peringkat seterus­nya,” ujarnya.

Selangor dijadualkan membuat perhitungan semula de­ngan Sabah Selasa depan untuk aksi keempat Piala Malaysia dengan misi yang lebih besar di Stadium Shah Alam dalam usaha untuk mengutip tiga mata pertama apabila kini menduduki kedudukan ter­corot Kumpulan D.