Menurut Sathianathan, berdasarkan momentum semasa, peluang tersebut dilihat tidak mustahil dicapai dengan syarat barisan pemain Gergasi Merah perlu tampil lebih konsisten, termasuk mengutip tiga mata penuh pada aksi menentang PKNP FC di Manjung, Perak malam ini.

“Saya akui sangat berpuas hati dengan prestasi semasa barisan pemain selepas merekodkan kemenangan positif ke atas Kedah sebelum ini. Namun, saya tidak mahu pemain terbuai dengan kejayaan tersebut, sebaliknya mahu mereka terus fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kami perlu lebih konsisten untuk mengutip mata seandainya mahu memperbaiki prestasi kami musim ini dengan potensi menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua. Peluang itu sudah terbuka apabila Pahang merekodkan dua kekalahan berturut-turut.

“Saya harap jurang empat mata ketika ini dapat dirapatkan dengan kemenangan ke atas PKNP FC nanti. Dalam masa yang sama, saya tidak mahu pemain terlalu yakin kerana PKNP FC juga mampu mencipta kejutan kerana mereka beraksi tanpa tekanan,” kata Sathianathan kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Sathianathan turut mengesahkan rombakan akan dibuat dalam kesebelasan utama skuad Gergasi Merah pada perlawanan tersebut kerana mahu memberi peluang buat barisan pemain yang direhatkannya beraksi.

“Mungkin akan ada pertukaran di beberapa posisi yang saya masih lagi belum putuskan. Cuma, di bahagian serangan, kami masih mengharapkan bisa Ifedayo Olusegun yang berjaya meledak hatrik pada debut pertamanya menentang Kedah sebelum ini,” katanya.