Ketua jurulatih Selangor, P. Maniam berkata, sikap profesional barisan pemainnya serta fokus yang tinggi terhadap perlawanan adalah kunci kejayaan Selangor berhasil membawa pulang tiga mata penuh pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

“Kami (pihak pengurusan) sentiasa mengingatkan para pemain bahawa itu semua adalah halangan yang akan mengganggu fokus sekiranya mereka (pemain) membiarkan ia masuk ke dalam fikiran.

“Sebelum perlawanan bermula para pemain sudah me­nunjukkan semangat yang tinggi dan hasil daripada sikap positif yang ditunjukkan, kami berjaya meraih kemenangan pada perlawanan pertama ini,” katanya.

Gol kemenangan Selangor dihasilkan menerusi jaringan penye­rang import dari Sepanyol, Rufino Segovia Del Burgo pada minit ke-16 dan ke-90. Ini menyaksikan skuad Gergasi Merah kini me­nerajui takh­ta liga de­ngan berkongsi tiga mata bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka dan pendatang baharu, kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).

Mengulas mengenai perlawanan itu, Maniam gembira de­ngan perkembangan pasukannya yang mempunyai kombinasi pemain senior dan muda, namun menegaskan, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi kedua menentang Melaka United esok.

“Kita boleh nampak pemain-pemain muda dan senior, mereka bergabung dengan sangat baik. Pada separuh masa pertama kami bermain dengan baik tetapi separuh masa kedua, kami gagal menguasai perlawanan disebabkan mereka (lawan) banyak mengasak kerana mereka perlu menjaringkan gol.

“Bagaimanapun, dalam konteks serangan balas, kami nampak bahaya dan kita akan cuba perbaiki segala kesilapan malam ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu menerima tamparan hebat selepas tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang keramat skuad Gergasi Merah selama dua dekad sebagai venue tuan rumah bagi saingan Liga Super 2018 kerana perselisihan faham antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri.

Isu tersebut bertambah parah selepas hasrat menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai stadium alternatif turut ditolak dua minggu sebelum liga bermula meskipun pada awalnya telah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Namun, perkembangan terbaharu menyaksikan Selangor akhirnya berjaya menemui jalan penyelesaian selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai venue tuan rumah musim ini. – Bernama