Selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 minggu lalu, Melaka United menjadi mangsa kedua pasukan bimbingan P. Maniam yang menang bergaya 4-1 ke atas skuad bimbingan Eduardo Almeida di venue ‘tumpang’ Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

“Kemenangan yang diraih malam ini (kelmarin) adalah hasil disiplin semua pemain dan persefahaman antara mereka. Mereka perlu mengekalkan momentum tersebut untuk perlawanan selepas ini,” ujar penolong jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

Gol kemenangan Selangor dihasilkan menerusi dua jaringan masing-masing oleh Rufino Segovia dan Syahmi Safari, manakala gol tunggal Melaka United melalui sentuhan Tiago Gomes.

Selangor terpaksa ‘menumpang’ di Stadium Kuala Lumpur, Cheras selepas permintaan Persatuan Bola Sepak Selangor untuk menggunakan laman keramat, Stadium Shah Alam ditolak kerajaan negeri.