Pada aksi separuh akhir semalam, beregu campuran negara mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih kemenangan pada set pertama, namun tewas pada set kedua.

Pada set ketiga, pasangan negara hampir tewas selepas ketinggalan 18-20, namun kedua-dua mereka memperbaiki kesilapan dan berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 21-16, 20-22, 22-20 dalam tempoh 76 minit.

“Pada dua tahun lalu kami tidak bermain dengan baik apabila kalah seawal pusingan pertama. Jadi, untuk mara sehingga ke tahap ini bukan mudah kerana kami melalui banyak cabaran. Saya gembira kemenangan ini dapat mengembalikan semula semangat dan rentak terbaik kami tahun ini.

“Pada awal permainan, kami telah bermain dengan baik termasuk set kedua tetapi pasukan lawan mengejar semula untuk meraih kemenangan. Pada set ketiga sedikit mencabar kerana kita tahu mampu meraih kemenangan tetapi ia sedikit sukar.

“Walaupun Indonesia berada di depan iaitu 18-20, saya tetap memberi sokongan kepada Kian Meng agar kekal tenang dan kembali mengejar mata tersebut. Kami berjaya melakukannya dengan baik. Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini,” kata Pei Jing.

Lebih manis, ia merupakan pentas final pertama Kian Meng-Pei Jing dalam tempoh dua tahun sejak kali terakhir melakukannya ketika saingan Masters Malaysia pada Januari 2017 dengan menewaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bagi aksi final.

Beregu negara dijangka berdepan tugas berat apabila berdepan beregu No. 4 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai bagi perebutan gelaran juara hari ini.