Justeru, Shebby (gam­bar kecil) me­nyarankan badan in­duk tersebut mencari jalan untuk menyenarai hitam pengendali kelahiran Portugal itu supaya Vingada tidak boleh datang ke Malaysia kerana mencemarkan nama baik pasukan kebangsaan apabila mempamerkan persembahan terburuk di pentas antarabangsa.

Kekalahan tersebut menyaksikan bekas jurulatih Arab Saudi itu masih kempunan untuk merasai kemenangan pertama selepas mengemudi tujuh perlawanan apabila tewas enam kali dan sekali seri sejak dilantik FAM pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan dan Kuala Lumpur itu menggesa FAM memecat Vingada yang dianggap telah menconteng arang bola sepak Malaysia dan melantik individu lebih berwibawa bagi mengembalikan semangat perjuangan Harimau Malaya.

“Seharusnya Vingada tidak dibenarkan kembali ke Malaysia, bukankah beliau sudah menjatuhkan maruah Malaysia selama ini?

“Tahun 2017 akan dikenali sebagai tahun yang mana Vingada telah membunuh bola sepak Malaysia.

“Dalam jangka masa (setengah) tahun ini, beliau tidak membawa apa-apa perubahan, malah memburukkan prestasi bola sepak di negara kita. Memburukkan prestasi para pemain sehingga kita lihat mereka seakan hilang arah semasa berada di atas padang.

“Apa yang menyedihkan, Vingada telah diberikan satu tempoh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia tetapi dimusnahkan dan hancur impian kita untuk beraksi pada Piala Asia 2019,” katanya ketika dihubungi Kosmo! ­semalam.

Dalam aksi itu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menjaringkan gol tunggal pasukan negara pada minit ke-85. Sebelum itu, Kim Yu Song mencipta hatrik (m-15, m-20, m-44), manakala Pak Kwang Ryong meledak gol keempat Korea Utara (m-79), sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad kendalian Jorn Andersen.

Dalam perkembangan sama, Shebby menganggap kemarau kemenangan itu adalah masa terbaik buat FAM menekan ‘butang panik’ dan beliau kekal de­ngan pendiriannya menganggap Vingada bukan calon tepat untuk membimbing skuad kebangsaan yang semakin terde­sak untuk memulihkan reputasi.

“Kita tidak harus melakukan rombakan besar-besaran. Kita hanya memerlukan jurulatih yang berwibawa dan berkebolehan.

“Malaysia sebenarnya ada sekumpulan pemain yang dikatakan cukup matang tetapi kita pula tidak memiliki jurulatih yang matang untuk membentuk satu pasukan.

“Jadi, ini adalah detik hitam dalam sejarah bola sepak Malaysia kerana sekiranya seorang jurulatih berulang kali memilih Kiko Insa untuk beraksi di arena antarabangsa, itu sudah menunjukkan bahawa jurulatih yang membuat keputusan memang tidak memahami bola sepak.

Malangnya kita mendapat seorang jurulatih yang tidak memahami bola sepak di negara kita,” ujarnya.