Ia diakui ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen menjelang pertemuan dengan Argentina pada aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Peillat, 26, seorang diri sahaja berupaya menghadiahkan kemenangan kepada pasukan No. 2 dunia itu se­perti dilakukannya dengan enam gol daripada dua perlawanan ketika ini.

“Semua pasukan sedia maklum bahawa Peillat mampu membawa perbezaan dalam mana-mana perlawanan. Kekuatan utama Argentina adalah pukulan sudut pe­nalti.

“Saya sedar ia bukan satu tugas mudah untuk menghalang Peillat tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mengurangkan pukulan sudut penalti kepada mereka.

“Mungkin kami dapat menghalang Argentina daripada menjaringkan gol sekali gus ada peluang meraih sesuatu dalam perlawanan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas tewas 1-3 kepada Australia kelmarin.

Selain itu, Van Huizen mendedahkan pergerakan Matias Paredes juga perlu dikunci oleh anak-anak buahnya kerana penyerang Argentina itu memiliki kemahiran individu tinggi untuk mendapatkan pukulan sudut penalti.

Pada masa sama, Malaysian Tigers perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah seperti dua gol yang dilepaskan kepada gergasi No. 1 dunia, Australia ketika tewas 1-3 dalam aksi kedua kelmarin.

Positifnya dalam perlawanan itu ialah skuad negara cuma melepaskan satu gol menerusi pukulan sudut penalti daripada keseluruhan lima yang diperoleh Australia, manakala baki empat lagi berjaya dihalang dengan baik.