Justeru, UniKL yang mara ke final buat kali pertama dalam sejarah sejak ditubuhkan pada 2009, sedia mengubah ‘skrip’ pertemuan mereka ke atas gergasi tanah air tersebut, pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur esok.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj (gambar kecil) yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya kerana mereka sebelum ini tidak pernah menang ke atas satu lagi gergasi tanah air, Pasukan Hoki Terengganu (THT), namun statistik itu berubah sepanjang musim ini.

“Berdasarkan statistik kami tidak pernah kalahkan THT tetapi keputusan berubah dalam empat pertemuan dengan mereka tahun ini. Kami langsung ti­dak kalah dengan THT, menang sekali dan tiga kali seri.

“Sama dengan KLHC kerana kami tidak pernah menang ke atas mereka sebelum ini. Tahun ini kami seri sekali dan kalah sekali. Jadi, saya percaya kami boleh mengubah statistik ini pada final nanti,” katanya.

UniKL berjaya menca­tatkan keputusan seri 2-2 dengan THT kelmarin, sekali gus mara ke pentas final dengan kemenangan agregat 6-3 selepas terdahulu menang bergaya 4-1 ke atas juara bertahan empat musim berturut-turut itu pada separuh akhir pertama, Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Arul yang merupakan bekas ke­tua jurulatih Skuad Projek 2016 berharap mampu meraih kejuara­an Piala TNB musim ini sebagai ‘hadiah’ sempena siap pembinaan stadium baharu mereka, Stadium Hoki Tengku Abdullah Shah di Bangi, Se­langor.

“Saya balik ke Malaysia dari Ireland untuk menjadi jurulatih UniKL pada 2012. Ini adalah final pertama saya dalam musim ketujuh bersama UniKL dan kali pertama buat pa­sukan ini sejak 2009.

“Kejayaan ini harus diberikan kepada UniKL, lebih daripada para pemain dan barisan kejurulatihan kerana mereka telah melabur banyak untuk pasukan ini dari segi pembangunan akar umbi dan sebagainya,” jelasnya.