Daren menga­kui menggalas tanggungjawab cukup besar memandangkan dia mengisi kekoso­ngan ditinggalkan jaguh perseora­ngan negara, Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa menarik diri gara-gara masalah ke­sihatan.

Semi finalis Kejohanan Dunia 2018 itu turut menegaskan, dia tidak mahu kehadirannya dalam skuad Sukan Asia dianggap hanya untuk memenuhi kuota memandangkan dia mahu membalas kepercayaan diberikan BAM dengan menghadiah­kan kilauan pingat buat kontinjen negara.

“Saya sangat gembira apabila dimaklumkan BAM menyenaraikan nama saya untuk memperkuatkan skuad badminton negara bagi menghadapi saingan pada Sukan Asia. Ini merupakan penghormatan yang cukup besar untuk saya.

“Bagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa keputusan ini bukanlah sekadar untuk memenuhi kuota semata-mata. Saya yakin BAM sudah membuat penilaian terbaik sebelum membuat sebarang keputusan. Saya berikrar untuk hadiahkan pingat buat negara,” kata Daren.

Aksi yang ditampilkan bekas pemain naungan BAM itu pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China minggu lalu sehingga melangkah ke separuh akhir nyata mencuri tum­puan badan induk badminton negara, sekali gus melayakkannya untuk disenaraikan ke temasya sukan tersebut.

Pada masa sama, pemain yang ber­ada di ranking ke-39 dunia itu melaungkan keyakinan dia sempat pulih sepenuhnya sebelum saingan bermula apabila mengalami kece­deraan buku lali ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia lalu.

“Kecederaan yang dialami tidak serius dan saya yakin boleh bermain. Saya mungkin menyertai latihan bersama skuad negara ming­gu depan sebelum berangkat ke Indonesia. Saya akan tetap bermain memandangkan sudah menyatakan komitmen membantu skuad negara,” ujarnya.

Daren akan menggalas misi negara dalam acara perseorangan lelaki bersama Lee Zii Jia, Leong Jun Hao serta Soong Joo Ven, manakala Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menerusi acara beregu lelaki.

Sebagai rekod, Sukan Asia 2018 merupakan penampilan keduanya pada temasya tersebut sejak me­lakukan penampilan terakhir lapan tahun lalu.