Menerusi kemenangan itu, Malaysia kini menghuni tangga kedua kumpulan di belakang China yang akan turun menentang India pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Malaysia dianggap sudah sebelah kaki ke peringkat suku akhir memandangkan sudah mengumpul satu mata, manakala India memerlukan keajaiban untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati kerana wajib menewaskan China pada perlawanan hari ini.

Wira negara, Lee Meng Yean yang bergandingan dengan Chow Mei Kuan dalam acara beregu wanita berkata, semua pemain sudah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut selain gembira apabila berjaya menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia.

“Saya sangat bangga dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan oleh semua pemain pada hari ini (semalam) meskipun kita tewas dalam acara beregu campuran dan perseorangan wanita. Inilah keunikan acara berpasukan, sesiapa sahaja berperanan untuk menghadiahkan mata buat pasukan.

“Pada aksi penentuan, kami ketinggalan 15-19 pada set kedua, namun saya dan Mei Kuan tidak mudah mengaku kalah dan cuba mengejar. Tuah nyata menyebelahi kami apabila pasukan lawan melakukan banyak kesilapan hingga berjaya memastikan kemenangan buat pasukan negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi itu, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 0-1 selepas beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas 21-16, 17-21, 22-24 kepada Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa, sebelum perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-13, 21-15 ke atas Sameer Verma.

Bagaimanapun, India kembali mendahului 2-1 menerusi acara perseorangan wanita selepas pemain No. 5 dunia, P.V. Sindhu mudah menewaskan Goh Jin Wei 21-12, 21-8, namun Malaysia kembali mengejar apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Teo Ee Yi menang 22-20, 21-19 ke atas Manu Attri-B. Sumeeth Reddy.

Beregu wanita No. 1 negara, Mei Kuan-Meng Yean menjadi wira Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan buat pasukan selepas menewaskan Ashwini-N. Sikki Reddy 21-11, 21-19.