Pada aksi separuh akhir semalam, pasangan yang berada di kedudukan ke-58 dunia itu mudah mengetepikan cabaran pemain tuan rumah, Nipitphon Puangpuapech-Jongkolphan Kititharakul menerusi kemenangan straight set 21-15 dan 21-11 dalam masa 32 minit.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemain pilihan kelima kejohanan tidak mengambil masa yang lama untuk mencapai keserasian semula selepas enam bulan terpisah ekoran kecederaan yang menyebabkan Liu Ying terpaksa menjalani pembedahan bahu.

Ia dapat dibuktikan setelah pemenang pingat perak temasya Olimpik 2016 itu turut menang mudah pada aksi suku akhir ke atas pemain Australia, Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa menerusi kemenangan 21-11 21-13 kelmarin.

Menurut Peng Soon, hasil latihan kira-kira dua bulan sebelum kejohanan berlangsung, mereka sudah memulakan persiapan rapi bagi mengembalikan keserasian sewaktu berada dalam gelanggang.

“Secara perlahan-lahan ka–mi sudah kembali mencapai keserasian semula. Ini kerana sebelum ke kejohanan ini, kami sudah menjalani latihan secara bersama kira-kira dua bulan dan perkara itu adalah faktor penting mengapa kami tidak kekok bersama.

“Saya percaya, jika kami mampu mengekalkan rentak permainan seperti ini, sudah tentu kami tidak mempunyai masalah yang besar untuk meraih kemenangan esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Hari ini, pasangan beregu utama negara itu bakal berdepan dengan pemain tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul pada aksi final.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terus mempamerkan magis apabila turut menempah tiket ke pusingan akhir setelah meraih kemenangan 20-22, 21-19 dan 21-18 ke atas pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen dalam tempoh satu jam 16 minit.