Kejayaan memenangi pingat emas acara nangun lelaki semalam dan nanquan lelaki kelmarin menyaksikan Calvin mempertahankan dua pingat emas yang diraih dalam temasya di Sarawak dua tahun lalu.

Calvin menepati ramalan apabila men­catatkan pungutan mata 9.5900 menewaskan pencabar terdekat dari Pahang, Chuah Shangyang (9.4700 mata) yang memenangi pingat perak, manakala gangsa menjadi milik atlet wusyu Sarawak, Chiew Sow Hong yang mengutip 9.4600 mata.

Tanpa berselindung, Calvin me­ngakui dia dapat menarik nafas lega untuk meninggalkan pentas Sukma selepas membuat debut dalam edisi Perlis empat tahun lalu dengan kejayaan yang boleh dibanggakan.

“Saya tidak memenangi apa-apa ketika debut pertama pada Sukma 2014 (Perlis) tetapi Sukma 2016 (Sarawak) saya berjaya memenangi acara nangun dan nanquan sama seperti kejayaan hari ini (semalam).

“Semalam (kelmarin) saya menang emas nanquan dan hari ini (semalam) menang pingat emas nangun. Perasaan saya sebenarnya bagus dan apa yang membuatkan sedikit emosi ini adalah penampilan terakhir saya di pentas Sukma.

“Apapun saya boleh berbangga kerana sekurang-kurangnya saya meninggalkan pentas Sukma sebagai legenda. Mungkin ia memberikan saya motivasi positif untuk memajukan karier saya di masa akan datang,” katanya kepada Kos­mo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Calvin mendedahkan dia mahu berehat terlebih dahulu sebelum memikirkan Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Myanmar pada Disember depan.

“Saya mahu berehat kerana mengalami kecederaan bahu kanan. Saya akan kembali sebelum Disember kerana akan beraksi pada AUG selepas aksi Sukma 2018 ini,” katanya.