Dr. Mahathir berkata, sasaran tersebut tidak mustahil untuk mengulangi pencapaian terbaik kontinjen negara yang beraksi cemerlang dalam temasya sukan terbesar Asia edisi 2010 di Guangzhou, China.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini (Sukan Asia 2010), saya tidak nampak kenapa kontinjen kita tidak boleh mengulangi kegemilangan itu pada edisi kali ini atau mungkin me­lakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018 di Dataran Perdana, Putrajaya semalam.

Perdana Menteri berkata, kontinjen negara menghantar atlet-atlet berkelas dunia seperti Al Jufferi Jamari untuk acara silat, Azizulhasni Awang (berbasikal), Wong Weng Soon (wushu) serta pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki.

“Saya yakin, semua yang memikul tanggungjawab untuk negara tercinta ini akan berjuang berhabis-habisan bukan untuk wang ringgit semata-mata, tetapi demi maruah diri dan pasukan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa barisan jemaah menteri.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengumumkan sasaran rasmi sebanyak tujuh pingat emas berpotensi untuk dikutip pada temasya yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang bermula 18 Ogos hingga 2 September ini.

Katanya, angka tersebut rea­listik untuk diraih selain ia dapat memperbaiki jumlah pingat yang diraih kontinjen negara yang meraih lima pingat emas pada edisi 2014 di Korea Selatan.

“Kita meletakkan sasaran sebanyak tujuh pingat emas pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia. Namun, angka tersebut boleh meningkat kepada 11 pi­ngat emas sekiranya segala nasib menyebelahi kontinjen negara.

“Antara senarai sukan yang dilihat berpotensi sebagai sasaran adalah saingan berbasikal, karate, sepak takraw, silat, bo­ling dan beberapa acara lain,” katanya.

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia telah mendaftarkan senarai 426 atlet ke Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta dan Palembang untuk bersaing dalam 35 acara sukan.