
Bagaimanapun Pei Jing menegaskan, mereka sedia untuk kembali ke prestasi terbaik pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka China yang bermula semalam meskipun sedar perlu berdepan laluan sukar.
Ujar pemain berusia 25 tahun itu, dia dan Kian Meng enggan terlalu memikirkan soal kemenangan pada kejohanan kali ini, sebaliknya mereka hanya fokus untuk kembali ke prestasi terbaik.
“Sebenarnya, sukar untuk saya cakap mengenai prestasi pada ketika ini kerana kami sentiasa mahu lakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai. Menang atau kalah adalah perkara kedua.
“Saya dan Kian Meng sentiasa berusaha keras untuk kembali ke prestasi sebenar. Tidak dinafikan kami mahu lupakan aksi hambar sebelum ini dan mula mencatat kemenangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, beregu yang berada di ranking ke-10 dunia itu sekadar menamatkan saingan Terbuka Perancis pada peringkat separuh akhir selain tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Denmark.
Justeru, Pei Jing sedia untuk berjuang habis-habisan pada Terbuka China yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Haixia biarpun bakal membuat perhitungan dengan juara Terbuka Denmark dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada pusingan pertama hari ini.
“Saya tahu kami akan bertemu beregu Hong Kong yang merupakan juara Terbuka Denmark bulan lalu, jadi sudah pasti ia bakal menjadi satu perlawanan sukar. Bagaimanapun, kami tidak akan mudah mengaku kalah.
“Kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Kami pernah menewaskan mereka pada aksi suku akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia awal tahun ini tetapi ia sudah berlalu,” ujarnya.
Sekiranya rekod pertemuan lalu dijadikan ukuran, Kian Meng-Pei Jing dilihat memiliki kelebihan ke atas gandingan No. 9 dunia itu apabila memenangi dua daripada tiga perlawanan terdahulu.