Spekulasi mengenai destinasi terbaharu Safee, 34, mula bertiup kencang selepas pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd., Fazli Mohammad bersama penjaga gol Perlis, Mohd. Shahril Sa’ari di Shah Alam mula tular di media sosial sejak kelmarin.

Namun segalanya bakal terungkai apabila bekas pemain Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dikatakan bersedia menyertai pasukan Liga Premier, Kelantan sekiranya Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) gagal melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan yang berakhir pada hari ini.

Menurut sumber, selain Safee, kemungkinan terdapat empat atau lima lagi pemain berpengalaman termasuk Mohd. Khyril Muhymeen Zambri dan Mohd. Badhri Mohd. Radzi atau Piya yang bakal meninggalkan Perlis sekiranya kemelut tersebut masih belum diselesaikan.

“Setakat ini, boleh dikatakan peluang untuk Safee meninggalkan Perlis lebih kepada 80 peratus hampir pasti bersama dengan Shahril serta Khyril Muhymeen.

“Sama juga seperti Piya yang sebelum ini tiada dalam barisan pemain pada aksi pertama Liga Premier 2019.

“Kemungkinan Piya bakal menyertai Kelantan semula ekoran pasukan tersebut kini telah diswastakan selepas dia sebelum ini pernah mengatakan tidak akan beraksi di Kota Bharu selagi pasukan itu berada di bawah kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),” kata sumber berkenaan kepada Kos­mo! semalam.

Pemain dalam Liga Malaysia ketika ini masih mempunyai peluang mencari pasukan baharu ekoran jendela perpindahan pemain masih dibuka dan akan ditutup pada 20 Februari ini.

Sementara itu, meskipun khabar angin mengenai Safee menyertai The Red Warriors mula tersebar, CEO KRW, Fazli bagaimanapun menegaskan pertemuannya dengan pemain tersebut hanyalah sekadar ‘perjumpaan kosong’ serta tiada unsur ‘memancing’ dilakukan ekoran mereka masih dalam kontrak bersama PFA.

“Memang benar saya ada berjumpa dengan Safee dan Shahril namun ia sebagai pertemuan kosong sahaja dan tiada unsur untuk ‘memancing’ mereka.

“Bagaimanapun, kami sedia menerima mereka termasuk pemain lain jika mahu menyarung jersi Kelantan ekoran masalah gaji bersama Perlis selepas memikirkan komitmen yang mereka ada sekarang,” kata Fazli ketika dihubungi Kosmo! semalam.