Sebagai rekod, Safawi mencipta fenomena tersendiri dengan meledak empat gol dalam tiga perlawanan lepas yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mencipta kejutan muncul selaku juara Kumpulan E.

Lebih menarik, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi wira pasukan negara selepas meledak dua gol untuk me­numbangkan gergasi Asia Timur yang juga juara bertahan, Korea Selatan di Bandung minggu lalu.

Kini, pemain berusia 21 tahun itu percaya dia berada dalam prestasi terbaik kariernya untuk membantu pasukan negara mengesahkan kelayakan ke pusi­ngan suku akhir.

“Saya gembira dengan aksi yang dipamerkan pada peringkat kumpulan termasuk perlawanan ketiga ketika menentang Bahrain meskipun dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Saya berjaya meledak gol pada perlawanan tersebut dan secara tidak langsung mendapat rehat yang cukup untuk memastikan cergas sepenuhnya pada aksi bertemu Jepun esok (malam ini),” katanya.

Skuad muda Harimau Malaya diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod pencapaian kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 (AFC) yang menyaksikan mereka mara sehingga ke peringkat suku akhir.

Mengulas lanjut, Safawi me­ngakui di atas kertas pasukan Samurai Biru itu memiliki kelebihan tersendiri tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Saya berazam untuk berikan aksi 100 peratus dan berusaha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan sebaiknya,” kata pemain kelahiran Terengganu itu.