Pemain Johor Darul Ta’zim itu menghidupkan peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila meledak gol penya­maan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43 selepas Ward Al Barri membuka tirai ja­ringan buat Jordan pada minit ke-16.

Persembahan cemerlang itu jelas memberikan mesej berguna kepada pasukan-pasukan lawan yang mana Safawi bersetuju sudah tiba masanya Malaysia seharusnya dihormati oleh pesaing.

“Saya tak nak pasukan lawan (terutama) dari Asia Barat me­rendahkan kita, hari ini (semalam) kita sudah beri yang terbaik untuk Malaysia. Kita dapat keputusan positif.

“Saya sangat puas hati dan bangga dengan rakan sepasukan kerana dari awal hingga akhir kita bagi komitmen 100 peratus dan permainan yang positif. Sejujurnya, saya agak kecewa kerana kita ada peluang baik untuk menang tetapi sekurang-kurangnya satu mata ini telah menghidupkan peluang kita ke suku akhir (Kejuaraan AFC B-23) nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Dalam aksi tersebut, Safawi yang turut menjaringkan satu gol ketika skuad negara tewas 1-4 kepada Iraq Rabu lalu, berjaya me­nyamakan kedudukan selepas penyerang muda Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dijatuhkan di dalam kawasan kotak penalti.

Safawi berkata, pemain-pemain muda semakin bersemangat untuk menunjukkan persembahan positif selepas kejayaan meraih satu mata dengan Jordan sebelum bertemu Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kunshan, Selasa ini.

“Ini adalah kejohanan tahap tinggi bagi kami. Jadi, semua pemain mahu cipta sejarah. Mungkin perlawanan seterusnya (bertemu Arab Saudi) kalau kita menang, ada peluang ke suku akhir.

“Kalau semua pemain bekerja keras kita boleh dapat keputusan baik, tak kira siapa yang jaringkan gol yang penting kita menang,” ujarnya.