Naib juara Terbuka Perancis 2015 itu sebelum ini dijangka bersara selepas Terbuka Australia pada Januari lalu, namun terpaksa menarik diri daripada kejohanan pembuka musim Grand Slam 2019 itu akibat kecede­raan pergelangan tangannya.

Pemain kelahiran Republik Czech itu pernah menjuarai gelaran di sini pada tahun 2016 yang juga trofi ketujuh dan terakhir dalam kariernya apabila menewaskan Samantha Stosur 3-6, 6-1, 6-4 pada aksi final.

Menerusi kenyataannya dalam laman Twitter, Safarova, 32, turut mengumumkan bahawa dia juga akan membuat penampilan terakhir dalam acara beregu bersama pasangannya, Bethanie Mattek-Sands pada kejohanan yang sama di sini.

“Saya mengumumkan dengan rasa gembira bahawa saya akan menyertai kejohanan di sini sebagai tanda ucapan selamat tinggal kepada peminat saya di Republik Czech.

“Saya juga teruja apabila akan bergan­dingan sekali lagi bersama Mattek-Sands buat kali terakhir di kejohanan ini. Tiada apa-apa lagi yang saya inginkan selain memenuhi semua hajat peminat saya ini,” jelas Safarova.

Sepanjang digandingkan dengan pemain Amerika Syarikat itu, Safarova dan pasangan­nya itu telah memenangi 11 kejuaraan dalam acara beregu di antara tahun 2015 dan 2017 termasuk lima gelaran Grand Slam selain pernah menduduki ranking No. 1 dunia pada tahun 2017. 
– Agensi