Saddil, 20, meletakkan namanya sebagai penjaring gol buat kali pertama dalam kariernya di Malaysia selepas membantu Pahang menewaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras Jumaat lalu.

Pemain kelahiran Indonesia ini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Pahang dan mengakui dirinya masih malu ketika beraksi bersama-sama rakan sepasukannya kerana ini kali pertama dia menyertai pasukan di luar negaranya.

“Secara peribadi, saya sebenarnya masih malu ketika bersama pemain-pemain lain pasukan ini kerana baru saja mengenali mereka.

“Saya akui bahawa saya perlu mengatasi perasaan ini dan tampil dengan lebih yakin bersama pasukan. Harapnya gol pembukaan yang dijaringkan ketika bertemu Kuala Lumpur mampu membantu saya mengatasi perasaan malu dan gugup di atas padang,” kata Saddil.

Bekas pemain kelab Persela Lamongan di Indonesia itu turut gembira kerana memiliki rakan sepasukan yang berpengalaman dalam skuad Pahang.

“Saya dapat rasakan yang saya akan berasa selesa dengan pasukan ini kerana rata-rata pemain pasukan ini mempunyai kebolehan tersendiri. Saya pasti kami bakal menunjukkan persembahan yang lebih bagus selepas ini,” katanya lagi.