Lebih menarik, jurulatihnya, Jelius Ating yang menjadi sebahagian daripada pasukan ketika menjulang trofi sama pada tahun 1996, kini sekali lagi menjadi tulang belakang tetapi sebagai individu memimpin pasukan itu menempah slot Liga Super musim depan.

Jelius menganggap kejayaan itu sebagai sangat bermakna selepas pasukannya serba kekurangan pada awal musim, namun berjaya menghidupkan semula bola sepak Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

“Syukur kami di atas kejayaan ini. Kita sudah menunggu selama 23 tahun untuk memenangi trofi dan apabila saya berjaya memenanginya sebagai ketua jurulatih, ia sesuatu yang lebih bermakna buat saya.

“Walaupun kita hanya dibarisi ramai pemain muda, namun skuad yang ada ini berjaya membuktikan kemampuan dan kualiti masing-masing dan pada akhirnya memiliki motivasi untuk berjaya seperti hari ini.

“Sejak awal membimbing pasukan ini, saya sentiasa beri peluang kepada semua pemain walaupun pemain itu baru menyertai kami. Selagi kualiti yang diperlukan ada, saya akan beri peluang mereka beraksi dalam kesebelasan utama dan kita dapat membentuk skuad mantap musim ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sabah meraih gelaran juara Liga Premier 2019 meskipun masih berbaki dua perlawanan menerusi jaringan Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes pada babak kedua, selepas pasukan itu terlebih dahulu ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama menerusi sepakan percuma pemain UiTM FC, Zarko Korac.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan iaitu tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua.