Russel, 20, sekadar mencatatkan 21.12s untuk meraih pingat perak acara 200m pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini sebentar tadi.

Pelari pecut negara yang berpangkalan di Australia itu tewas kepada atlet Taiwan, Tai Sheng Wei yang mencatatkan masa 21.00s.

Tempat ketiga acara 200m sebentar tadi menjadi milik seorang lagi pelari dari Taiwan, Shou-Po Yen dengan catatan masa 21.24s.

Walaupun gagal menepati ramalan tetapi Russel tetap berpuas hati dengan catatan masa tersebut selepas terpaksa menaiki penerbangan jauh dari Australia untuk mengadapi kejohanan tersebut.

"Saya gembira kerana dapat menghadiahkan pingat buat Malaysia. Sasaran saya selepas ini ialah Trek Balapan dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar bulan depan.

"Saya harap dapat terpilih mewakili Malaysia pada kejohanan itu nanti," katanya selepas tamat aksi final 200m sebentar tadi.

Russel mengegar arena olahraga tanah air minggu lalu selepas memecahkan rekod 200m kebangsaan 20.90s milik Khairul Hafiz Jantan. - K! ONLINE