Rossi memberitahu, pada awalnya dia berasa selesa dengan jentera YZR-M1 itu berbanding tunggangannya ketika ujian pramusim di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Itali itu mendedahkan bahawa Yamaha tidak melakukan sebarang kemajuan berdasarkan prestasi jentera yang disifatkan sama seperti musim lalu.

Tunggangan maksimum Rossi pada saat akhir ujian pramusim berjaya meletakkannya di kedudukan kedua dengan catatan 1:54.276 saat dan dia berpuas hati dengan masa tersebut, namun mendedahkan, dia memecut dalam keadaan hilang cengkaman.

“Saya cukup gembira selepas ujian pramusim terutamanya pada sebelah petang kerana saya fikir kami sudah bekerja keras selama tiga hari termasuk pada sebelah pagi (semalam).

“Pada sebelah petang, kami meletakkan kesemua usaha dan akhirnya saya berjaya melakukan pusingan terbaik dengan catatan kedua terbaik selain menemui rentak tunggangan dan kepantasan yang baik.

“Bagaimanapun, kamu harus sedar bahawa kami benar-benar hampir, dekat sekali tetapi dalam saingan MotoGP ini terdapat ramai pelumba yang hebat di luar sana.

“Sedangkan kami berterusan berdepan masalah ketahanan tayar depan dan belakang. Susulan masalah tersebut, kita akan memahami apa sebenarnya berlaku. Jadi, kita tunggu dan lihat dalam tempoh dua minggu lagi,” jelas Rossi. – Agensi