Perlumbaan musim 2019 akan menjadi musim ke-24 buat Rossi dan pelumba yang akan berusia 40 tahun itu telah meraih sembilan gelaran dunia, 232 kejayaan podium dan 115 kemenangan.

Dia yang menggunakan jentera bernombor 46 itu juga masih memiliki kontrak bersama Yamaha sehingga musim 2020, namun me­ngakui ia bukanlah musim terakhirnya dalam MotoGP.

“Saya sudah menandatangani kontrak bagi musim 2019 dan 2020, jadi buat masa ini, saya belum buat keputusan adakah ini akan jadi kontrak terakhir saya sebagai pelumba ataupun tidak.

“Ada beberapa perkara yang harus saya lakukan sebelum meninggalkan perlumbaan ini. Misi saya tetap sama untuk memburu gelaran ke-10, tetapi ia cuma ang­ka bagi saya. Saya tetap akan meneruskan perlumbaan walaupun saya menjulang gelaran tahun depan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya berlumba kerana gembira dengan apa yang saya lakukan dalam memburu kemena­ngan pada setiap saingan. Saya gembira jika saya dapat meraih kejuaraan,” kata Rossi.

Dalam pada itu, Rossi turut mengakui misi utama­nya ketika ini adalah ingin mendapatkan momentum yang terbaik sebelum kempen MotoGP 2019 membuka tirainya di Qatar pada Mac nanti.

“Semua orang dalam pasukan ketika ini bekerja keras untuk mendapatkan jentera yang terbaik dan kompetitif. Jadi ujian pramusim di Litar Antarbangsa Sepang (SIC) nanti adalah penting bagi kami,” ujarnya. – Agensi