Dua gol daripada Karim Benzema pada setiap babak serta satu gol daripada perancang muda, Marcos Llorente berjaya meneruskan dominasi Real pada pertemuan di Stadium Montilivi itu dan menjamin tempat ke peringkat empat pasukan terakhir kempen piala tersebut.

Selain Real, turut mengesahkan slot ke undian separuh akhir tersebut ialah juara bertahan, Barcelona, Valencia dan Real Betis.

“Kami adalah antara empat pasukan yang layak ke separuh akhir. Kedua-dua pertemuan (separuh akhir) nanti sudah pasti amat sukar dan mencabar.

“Kami amat teruja untuk mengetahui siapa lawan kami. Kalau kami mahu memenangi trofi, kami mesti bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan tidak kira Barcelona, Valencia atau Betis.

“Kami perlukan komitmen daripada semua pemain pasukan ini dan begitu juga dengan mereka,” jelas Solari.

Real sebelum ini bergelut dengan prestasi pada awal musim, namun mereka mula mendapat semula rentak di bawah kendalian Solari dengan menjaringkan 13 gol serta memenangi empat aksi terakhir dalam kempen La Liga serta Piala Raja Sepanyol.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain. Mereka beraksi hari ini dengan baik sejak awal permainan dan ini membuktikan kualiti yang mereka miliki.

“Girona sebuah pasukan yang bagus dengan sistem yang berbeza, jadi kami perlu beraksi dengan serius dan penuh bertenaga,” jelasnya lagi. – Agensi