Hasil kemas kini yang dilakukan oleh badan induk bola sepak dunia itu semalam telah menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu naik sembilan anak tangga berbanding sebelum ini berada di kedudukan ke-168 dunia.

Petanda positif ini berlaku susulan kemenangan 2-0 yang dilakar ke atas pasukan Nepal pada aksi persahabatan antarabangsa disusuli dengan kejayaan menyingkirkan Timor Leste pada dua perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan keputusan agregat 12-2 pada bulan ini.

Ranking terkini itu juga menyaksikan Harimau Malaya berjaya memintas dua negara Asia Tenggara, Indonesia yang berada di tangga ke-159 dan Singapura di kedudukan 162 dunia.

Namun, ranking Malaysia masih lagi jauh ketinggalan berbanding pasukan utama di rantau ini seperti Vietnam di tangga ke-96, Thailand (116), Filipina (126) dan Myanmar di kedudukan ke-138 dunia.

Di peringkat Asia pula, Malaysia berada di kedudukan ke-32 daripada 46 negara yang mana lima pasukan terbaik Asia masih kekal menjadi milik Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Qatar.

Skuad Malaysia dijadualkan kembali di pentas antarabangsa untuk mengharungi aksi kumpulan di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula pada September depan.