Perkara tersebut diakui oleh ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang telah merencana strategi untuk memerangkap skuad Samurai Biru seperti yang dilakukan ketika menewaskan jaguh Asia yang juga juara bertahan, Korea Selatan minggu lalu.

Katanya, apa sahaja keputusan sama ada positif atau negatif yang bakal dicapai nanti tetap tidak boleh menafikan kecemerlangan barisan pemainnya dalam melayakkan diri ke pusingan kalah mati sejak edisi 2010 di Guangzhou, China.

“Saya harapkan barisan pemain dapat memberi tumpuan penuh pada aksi menentang Jepun nanti kerana saya percaya dengan sikap disiplin serta keinginan untuk menang, kita boleh menewaskan mana-mana pasukan.

“Saya tidak ingin sentuh me­ngenai skuad pada edisi Sukan Asia 2010 kerana apa sahaja keputusan yang diraih nanti, pemain sudah tentu memberikan yang terbaik tidak kira kita berjaya ke suku akhir atau tidak.

“Kami telah melakukan latihan selama dua hari dan kea­daan semua pemain baik kecuali Akhyar (Rashid) yang masih belum cergas sepenuhnya ekoran kecederaan yang dialami ketika aksi menentang Bahrain, Isnin lalu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23 negara di Padang B, Gelora Bung Karno semalam.

Sebagai rekod, skuad negara telah mencipta kejutan apabila meraih status selaku juara Kumpulan E apabila mencatat enam mata daripada tiga perlawanan.

Mengulas lanjut, Kim Swee tidak mahu keputusan yang menyaksikan Jepun ditewaskan Vietnam pada peringkat Kumpulan D sebelum ini sebagai petanda positif untuk barisan pemainnya melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak mahu para pemain dibuai dengan keputusan yang menyaksikan Jepun tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi peringkat Kumpulan D sebelum ini kerana ia adalah perlawanan yang berbeza.

“Apa yang saya maksudkan adalah perlawanan tersebut berlangsung ketika kedua-dua pa­sukan sudah mengesahkan tempat mereka ke pusingan kalah mati. Justeru, tekanan pemain mereka sudah tentu berlainan ketika menentang Vietnam berbanding apabila bertemu kami nanti,” katanya.

Skuad B-23 negara telah di­letakkan sasaran mara sekurang-kurangnya peringkat suku akhir pada temasya sukan terbesar Asia pada kali ini selepas mencipta kejutan berada dalam kelompok lapan terbaik dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, Januari lalu.