Kini, selepas 24 tahun penubuhannya, Racing Boy yang juga dikenali sebagai RCB telah berjaya me­nempa nama di persada antarabangsa selepas pe­ngasasnya, Lee Meng Tek menjalinkan kerja­sama dengan pasukan-pasukan yang ber­saing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Jika dahulu RCB hanya ter­kenal sebagai pengeluar rim sahaja, namun kini mereka telah mula mengeluarkan ba­nyak rangkaian produk aksesori dan alat ganti tempatan untuk motosikal underbone dan turut menjadi pengeluar bara­ngan teknikal bersama pasukan ­MotoGP.

Jenama keluaran Meng Kah Auto Parts Trading Sdn. Bhd. (MKA) itu mula gah di pentas MotoGP apabila mereka turut menaja pasukan pengeluar, Yamaha MotoGP sejak dari 2013 sehingga kini.

Bukan itu sahaja, logo RCB juga boleh dilihat pada jentera Honda RC213V yang ditunggang oleh juara dunia, Marc Marquez dan rakan sepasukannya di Repsol Honda, Jorge Lo­renzo hasil kerjasama mereka bersama Honda Racing Corporation (HRC).

Bagi melebarkan pengalaman syarikat di pentas global, RCB juga menyediakan sokongan teknikal rasmi dengan pasukan MotoGP negara, Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yang membuat kemunculan pertama dalam kelas perdana itu di MotoGP tahun ini bersama dua pelumba berpengalaman iaitu Fabio Quartarao dan Franco Morbidelli.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MKA, Bruce Lee me­ngakui, tujuan utama RCB berada dalam saingan MotoGP adalah untuk membuat penyelidikan dalam usaha menambahbaik produk keluaran mereka sebelum dipasarkan keluar negara.

“Kami bukan sahaja sebagai penaja dalam pasukan MotoGP, malah kami juga sebagai penyumbang sokongan teknikal. Sebab utama kami berada dalam perlumbaan ini adalah kerana mahu pulangan tekno­logi semula selepas membuat penyelidikan sepanjang perlumbaan di MotoGP.

“Selepas itu, barulah kami boleh mengembangkan lagi pasaran ke peringkat antarabangsa. Jadi, kerjasama yang kami lakukan ini adalah bukti bahawa produk yang kami keluar­kan telah diuji sepenuhnya dalam perlumbaan berprestij itu,” kata Bruce ketika peras­mian bangunan baharu di Taman Perindustrian Putra, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Selain RCB, MKA turut mempunyai beberapa anak syarikat lain termasuk Uma Racing iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 2002 selepas Meng Tek menjalinkan usahasama dengan Maju Motor Racing Sdn. Bhd. yang dikendalikan anaknya, Bruce.

Selain itu, penglibatan RCB dalam saingan perlumbaan tempatan lebih sedekad lalu juga telah membantu ramai pelumba negara yang beraksi dalam pelbagai kancah perlumbaan termasuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) mahupun MotoGP.

“Sebelum MotoGP, kami juga sudah berada di ARRC, Cub Prix dan sekarang, kami ingin membawa jenama ini jauh lagi ke peringkat antarabangsa.

“Kami juga turut menghantar jurutera kami untuk bekerja­sama dengan pasukan Gresini dalam kelas Moto3 dan Petronas dalam kelas Moto2 serta Moto3 untuk menguji ketahanan produk. Kami telah menerima data-data yang positif untuk terus meningkatkan kualiti pada produk yang kami keluarkan,” katanya lagi.