Program yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak itu berjaya menarik minat 136 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Menurut jurucakap MBR, Mohsen Amdan, program tersebut merupakan komitmen berterusan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad menerusi inisiatif Sports For All yang menyasarkan rakyat negeri Selangor untuk terus aktif bersukan walau di mana sahaja.

“Menerusi program yang turut mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Sukan UIAM ini, dua daripada tiga pemain setiap regu yang beraksi mesti berstatus obes iaitu BMI (Indeks Jisim Badan) melebihi 30.

“Sehubungan itu, sebelum acara bermula, setiap peserta diukur ketinggian dan berat badan bagi memastikan mereka layak menyertai program ini,” katanya kepada Kosmo!.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pusat Pembangunan Sukan UIAM, Hazeezy Harith yang turut melakukan aksi servis kuda.

Bagi memeriahkan program, tiga bekas pemain sepak takraw negara turut menyertai program edisi kedua yang dianjurkan MBR itu.

Menurut Mohsen, edisi ketiga program Sepak Takraw vs Obesiti akan berlangsung di Klang, Selangor pada 30 September ini.

Maklumat berkaitan acara boleh diperoleh melalui Facebook Bolarotan.