Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata, tidak adil untuk menyalahkan program itu memandangkan ia hanya diperkenalkan pada 2016.

"Program Podium hanya baru dua tahun dilaksanakan, kita perlu memberi peluang, contohnya dalam sukan skuasy, kita telah melahirkan Datuk Nicol Ann David untuk menjadi juara remaja dunia dan kita mengambil masa lapan hingga sepuluh tahun.

"Satu daripada masalah dalam program itu ialah terlalu banyak individu dalam program tersebut. Saya fikir kita perlu memberi keutamaan kepada program yang mungkin hanya mempunyai beberapa orang dan juga mempunyai program lain seperti program "Kita Juara" yang diwujudkan untuk Sukan SEA," kata beliau kepada media selepas menghadiri lafaz Ikrar Bebas Rasuah Persatuan Kriket Malaysia (MCA) di Kinrara Oval.

Tunku Imran yang juga penaung Persatuan Kriket Malaysia turut melafazkan ikrar bebas rasuah dan menandatangani ikrar bersama atlet dan pegawai.

Ketika ditanya sama ada program itu harus diketuai oleh rakyat tempatan atau asing, Tunku Imran berkata: "Anda pasti perlu mendapatkan kepakaran antarabangsa dari luar negara, kita tidak boleh melakukannya sendiri. Ada sukan tertentu yang mungkin kita boleh tetapi kita boleh mempelajarinya daripada mereka jika mereka menerajui kita," kata beliau.

Sementara itu, Tunku Imran bersetuju dengan Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang membuat keputusan untuk mengetatkan pemilihan atlet di bawah kategori BN pada masa depan berdasarkan prestasi mereka yang kurang memberangsangkan pada Sukan Asia.

"Bagaimana anda menentukan atlet dipilih dalam Kategori B, MOM dan persatuan sukan kebangsaan harus membuat keputusan yang sewajarnya dan melakukan ujian lebih ketat sebelum membuat keputusan untuk meletakkan mereka (atlet)...tetapi kategori itu tidak boleh dimansuhkan," kata beliau. - Bernama