Buktinya, SSTMI berjaya muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Olahraga Sekolah Sukan Thailand 2018 di Nakhon Si Thammarat baru-baru ini memungut 17 pingat emas, enam perak dan enam gangsa.

Ia merupakan satu pencapaian membanggakan buat SSTMI kerana berjaya bergelar juara keseluruhan daripada 30 buah sekolah yang bertanding selain turut memecahkan monopoli Thailand sebagai penganjur kejohanan.

Salah seorang jurulatih pengiring, Mohd. Poad Kassim bangga dengan pencapaian dilakar anak-anak buahnya dan berharap kejayaan tersebut dapat membuka mata pihak bertanggungjawab untuk terus membantu pembangunan sukan di SSTMI.

“Buat pertama kali wakil dari Malaysia berjaya menjadi johan keseluruhan. Ia menandakan program pembangunan atlet olahraga di SSTMI sangat berjaya.

“Saya harap kejayaan ini mendapat perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat agar lebih banyak kemudahan dan bantuan sains sukan dapat disalurkan di SSTMI demi kesinambungan melahirkan atlet pelapis olahraga untuk Malaysia,” katanya.

Naib juara keseluruhan kejohanan itu dimenangi Sekolah Sukan Nakhon Si Thammarat dengan 12 pingat emas, 11 perak dan 13 gangsa, manakala tempat ketiga menjadi milik Sekolah Sukan Bangkok menerusi sembilan emas, enam perak serta enam gangsa.

Acara pecut kategori lelaki kejohanan itu berjaya dimonopoli pelari-pelari dari SSTMI dengan pingat emas dimenangi Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli dalam acara 100 meter (m), Muhammad Aidel Saadon (200m), Muhammad Ilham Suhaimi (400m), kuartet 4x100m dan 4x400m.

Antara produk SSTMI yang berjaya menempa nama di pentas antarabangsa ialah Khairul Hafiz Jantan yang meme­gang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain merupakan pemegang rekod 100m dan 200m kebangsaan.