Dalam pengumuman yang dibuat bersempena dengan hari terakhir penganjuran Perlumbaan Basikal Berperingkat Remaja Kebangsaan Yayasan CIMB dan Kriterium Yayasan CIMB Siri Kelima, Pro Apparel diumumkan sebagai Rakan Pakaian dan Kit Perlumbaan Rasmi Junior Cycling Malaysia.

Tempoh perjanjian tersebut telah pun berkuat kuasa bermula Januari tahun ini sehingga  Disember tahun hadapan.

Pengarah Urusan Pro Apparel Asia, Muhammad Nur Farhan, berkata, kerjasama tersebut mampu membuka peluang kepada bakat-bakat untuk mendapat pendedahan lebih banyak dalam dan luar negara.

“Tahun ini adalah tahun yang istimewa buat Pro Apparel kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan JCM dalam membangunkan bakal-bakal bintang berbasikal negara, secara tidak langsung memberikan pendedahan awal tentang dunia lumba basikal.

“Dengan kerjasama ini, saya berharap agar momentum program JCM dapat dikekalkan dan diperhebatkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa seiring dengan misi jenama kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Melalui kerjasama yang diumumkan itu, Pro Apparel bersetuju untuk menaja pakaian bagi siri kejohanan kriterium, lumba lebuhraya, ujian masa, trek dan klinik anjuran JCM selain daripada kit perlumbaan buat para pelumba yang menyertai Jelajah Eropah dan Australia.

Baru-baru ini, seramai lapan pelumba turut serta di dalam Jelajah Eropah bermula dari Belgium hingga ke Belanda dalam satu program pendedahan buat pelumba-pelumba terpilih dan antara kejayaan yang berjaya dicatat ialah kemenangan pelumba Terengganu, Afiq Iskandar di Kriterium De Draai, Belanda.

Majlis pengumuman tersebut disempurnakan menerusi pemberian plak jersi Pro Apparel kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail. - K! ONLINE