Terdahulu, pada dua sesi latihan bebas, Hafizh hanya berada di kedudukan ke-25, iaitu berada di depan seorang pelumba yang baru membuat penampilan pertama pada GP San Marino, Christophe Ponsson.

Ponsson tampil menggantikan pelumba asal pasukan Reale Avintia Racing, Tito Rabat yang mengalami kecederaan patah kaki akibat kemalangan di Litar Silverstone dua ming­gu lalu.

Lebih parah, Hafizh yang diharap bangkit pada sesi kelayakan masih gagal mengubah kedudukan apabila mencatatkan masa 1 minit 34.080 saat (s) untuk meraih petak ke-25 pada perlumbaan hari ini berbanding pelumba di petak depan daripada Ducati, Jorge Lorenzo yang merekodkan masa 1 minit 31.629s.

Kemerosotan prestasi Hafizh mendapat kritikan hebat pengurus pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal yang menyifatkan tunggangan paling lambat apabila ke­tinggalan 10 saat dengan pendahulu, Andrea Dovizioso ketika sesi latihan bebas semalam.

Menurut Poncharal, Hafizh tidak memaklumkan sebarang masalah yang dihadapinya kepada pasukan untuk diselesaikan menyebabkan beliau buntu bagaimana mahu membantu pelumba negara tersebut.

“Apabila kamu berdepan kesukaran seperti ini, kamu sudah semestinya mahu mengetahui apa sebenarnya sudah berlaku agar kami boleh mencari jalan untuk mengatasinya. Namun, jujurnya saya tidak tahu.

“Saya akan selalu jujur dan berte­rus-terang. Selain daripada masalah kecil melibatkan teknikal pada jentera, dia (Hafizh) begitu lambat, kadang kala 11s dan 17s setiap pusingan dan ia sesuatu yang tidak normal.

“Saya akan bercakap dengan Hafizh selepas ini. Saya ingin memberitahu, jika ada sesuatu masalah pada jentera atau dia berasa tidak selesa dengan jentera, luahkan dan pasukan akan berusaha mengatasi masalah itu,” kata Poncharal.

Sementara itu, Hafizh yang diminta mengulas persembahan buruknya ketika ini mengakui hilang sedikit keyakinan sejak perlumbaan GP Repulik Czech bulan lepas.

“Saya mula berdepan kesukaran ketika perlumbaan di Litar Brno (GP Repulik Czech) hingga sekarang. Saya tidak tahu kenapa? Saya tidak berasa selesa dengan jentera ketika ini terutamanya pada tayar depan.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini (kepada Poncharal) dan dia memberitahu agar berusaha le­bih keras, jangan tertekan dan cuba menikmati perlumbaan dengan seronok. Jadi, saya akan cuba jadikan ia sebagai motivasi,” jelas Hafizh.