Sejak berada di bawah bekas pemain legenda itu, United telah merangkul tiga kemenangan berturut-turut dengan penyerang, Marcus Rashford dan Pogba terus menjadi penggerak utama terhadap kejayaan mereka.

“Perlawanan hari ini (kelmarin) adalah aksi yang memperlihatkan kehebatan pemain tengah kami (Pogba). Dia bukan sahaja bertindak sebagai pemain tengah, sebaliknya turut memberi sumbangan di semua posisi.

“Pogba sangat bahaya apabila berada dalam kotak penalti. Dia boleh menyaingi semua pemain lawan dengan menyajikan aksi luar biasa. Dia sudah tahu bahawa dia berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu menyaksikan pemain antarabangsa Perancis tersebut meledakkan dua gol seawal minit kelima dan ke-33 manakala dua gol lagi dija­ringkan oleh Marcus Rashford (m-45) serta Romelu Lukaku (m-72).

Bournemouth meraih gol saguhati menerusi percubaan pemain pertahanan, Nathan Ake pada waktu kecederaan di babak pertama perlawanan.

Dalam pada itu, Solskjaer mengakui bangga kerana United kembali kepada falsafah menyerang yang memberi kepuasan kepada para penyokongnya.

“Corak permainan seperti inilah yang para penyokong mahukan dan saya akan terus menggunakan pendekatan ini,” katanya.

Menerusi taktikal Solskjaer, United telah menjaringkan 12 gol sepanjang tiga perlawanan. – Agensi.