Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hongkou itu, skuad The Red Devils berjaya meraih kemenangan 2-1.

Menurut Pochettino, dia sendiri berasa bimbang dengan situasi berkenaan, namun enggan menyalahkan skuadnya 100 peratus kerana United juga beraksi dengan terjahan kasar pada babak kedua perlawanan.

“Memang betul saya bimbang dengan situasi panas pada perlawanan ini. Tetapi, saya tidak gembira kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku pada perlawanan persahabatan.

“Apabila kamu penat dan beraksi dalam cuaca panas, kadang-kadang terjahan kasar akan berlaku dalam mana-mana perlawanan. Saya bagi pihak para pemain Spurs memohon maaf kepada United.

“Namun, pada babak kedua, United juga membuat perkara sama kepada kami. Saya bimbang kerana jika dibiarkan ia berlarutan, pasti ada ramai pemain lagi yang cedera, sekali gus menjejaskan persiapan pasukan untuk menghadapi musim baharu tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Argentina berkenaan turut beranggapan aksi pramusim yang berlangsung itu merupakan ujian terbaik untuk mereka menempuhi saingan Liga Perdana England tidak lama lagi.

“Para pemain beraksi dengan serius dan mujur tidak ada kecederaan yang berlaku pada perlawanan itu,” jelasnya. – Agensi