PMOM yang merupakan badan penswastaan pengadil menerusi modul yang digunakan oleh Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL) di England bukan sahaja meletakkan penanda aras yang lebih baik sebaliknya menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan berkualiti tinggi.

Yusoff memberitahu, ia sebagai alternatif terbaik untuk mengurangkan kritikan peminat dalam kancah bola sepak negara meskipun ia tetap tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

“Tidak dinafikan mutu bola sepak negara sering menjadi pertikaian terutamanya dari aspek pengadilan dan itulah sebab kita mencari jalan penyelesaian terbaik.

“FAM dan MFL mengambil pendekatan melalui PMOM adalah untuk mengurangkan kritikan orang ramai terhadap Liga M.

“Kita tahu menerusi PMOM ia tetap tidak akan mendapat keputusan yang sempurna. Namun, sekurang-kurangnya mutu perlawanan dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang media menerusi persidangan video di Wisma FAM Kelana Jaya sebentar tadi.

FAM bersama MFL mengadakan perjumpaan bersama PGMOL Ahad lalu bagi mendapatkan khidmat nasihat bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana England berkenaan.

Mohd. Yusoff yang juga Ahli Lembaga Pengarah MFL mahu cara yang diserap menerusi PGMOL perlu mengikut kesesuaian Liga M.

“Kita tidak boleh tiru sepenuhnya PGMOL kerana di England juga tetap mempunyai kesilapan dan masih dalam proses penambaikkan.

“Mana-mana liga pun mutu pengadil masih mempunyai kekurangan dan tidak sempurna. Kita kena ingat ia melibatkan faktor kemanusiaan dalam memutuskan keputusan,” katanya. - K! ONLINE