Pakar flik skuad kebangsaan, Nuraini Abdul Rashid muncul wira buat PKS Uniten apabila meledak hatrik bermula minit kesembilan, 22, dan 23 pada aksi pembukaan tersebut.

Ketua jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan gembira melihat pres­tasi ditampilkan anak-anak buahnya dalam misi mempertahankan kejua­raan liga dimenangi musim lalu.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana para pemain dapat meng­ikut perancangan yang disusun untuk perlawanan ini.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh bergembira terlalu awal walaupun berjaya mencatatkan kemenangan besar ke­rana masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki dan pada masa sama saingan liga baru sahaja bermula.

“Saya harap barisan pemain mengekalkan momentum sama dalam setiap satu perlawanan selepas ini terutama ketika menentang pasukan-pasukan pilihan,” katanya.

Lima lagi gol PKS Uniten dijaringkan oleh Hanis Nadia Onn, Surizan Awang Noh, Nur Zafirah Aziz, Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Nurliyana Md. Kip.

Sementara itu, juara Piala Vivian May Soars 2018, Blue Warriors turut mencetak kemenangan besar 4-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Wipers di Stadium Hoki Lembah Pantai, Kuala Lumpur semalam.

Satu lagi aksi berlangsung semalam menyaksikan pasukan pilihan, Terengganu Ladies me­ngutip tiga mata penuh selepas membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail 5-0 di Bandar Penawar, Johor.