Ketua jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan mengesahkan Fatin Shafika dan Wan Norfaeizah memilih untuk merasai angin baharu dengan menyertai salah satu pencabar mereka musim ini dari Pantai Timur iaitu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT).

Lailin yang juga penolong jurulatih skuad wanita kebangsaan mengakui merasai ketiadaan dua penggempur utama tersebut terutamanya Fatin Shafika yang merupakan penjaring kelima terbanyak musim lalu dengan 12 gol, manakala Wan Norfaeizah pula berjaya mengumpul lima jaringan.

“Jay (Fatin Shafika) dan Wan (Norfaeizah) menyertai TLHT musim depan. Disebabkan itu, kami perlu mencari satu formula baharu untuk memberikan ke­seimbangan kepada pasukan.

“Bagaimanapun, kami berjaya mendapat khidmat penjaga gol kebangsaan daripada TLHT, Mas Huzaimah Md. Aziz dan seorang lagi penyerang Malaysian Tigress, Kirandeep Kaur Gurdip Singh untuk musim depan.

“Selain itu, khidmat beberapa pemain kebangsaan masih lagi dikekalkan selain tiga import diambil bagi memperkuatkan cabaran kami musim depan,” katanya.

Pakar flick skuad negara yang berjaya menyumbat banyak gol pada saingan Serie A1 dengan Butterfly Roma HCC dari Itali, Nuraini Abdul Rashid kekal menjadi pertaruhan utama PKS Uniten musim ini.

Selain itu, penyerang yang beraksi dengan Wespen Zehlendorfer di Berlin, Jerman iaitu Hanis Nadia Onn serta tiga lagi pemain kebangsaan, Surizan Awang Noh, Raja Nursharina Raja Shabuddin dan Nur Zafirah Aziz masih bersama PKS Uniten.