Perkara tersebut didedahkan oleh penolong pengurus PKNP FC, Mohd. Arfrenddy Arasad yang mengakui sedia berunding dengan mana-mana pasukan sekiranya serius untuk mendapatkan khidmat Shahrel.

“Buat masa ini, Shahrel masih lagi pemain PKNP FC. Namun, saya tidak menafikan kami bersedia untuk melepaskannya daripada pasukan bagi mengharungi saingan musim depan kerana ada beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Namun, segalanya masih dalam rundingan dan kami menanti tawaran rasmi dan setimpal daripada pasukan-pasukan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat aksi persahabatan melibatkan pasukan PKNP FC menentang PKNS FC yang berkesudahan 0-2 baru-baru ini.

Mengulas lanjut, PKNP FC sudah pasti merasai kehila­ngan khidmat Shahrel yang baru dinobatkan sebagai Penye­rang Tempatan Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan minggu lalu sekiranya penghijrahan tersebut benar-benar berlaku.

“Kami akui Shahrel merupakan menyerang yang sukar diganti. Namun, kami anggap ia adalah perkara biasa dalam bola sepak kerana dua pemain import kami, Hyeon Woo-kim berhijrah ke Terengganu FC, manakala Gilberto Valdenesio ke Felda United.

“Ini mungkin memberi tamparan hebat buat jentera serangan pasukan tetapi saya percaya jurulatih (Abu Bakar Fadzim) memiliki perancangan tersendiri dalam misi membentuk pasukan yang pertama kali beraksi pada Liga Super nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Arfrenddy turut mengesahkan bahawa PKNP FC sudah membuat permohonan bagi dua stadium yang dikenal pasti sesuai untuk dijadikan venue sebagai tuan rumah musim depan.

“Kami telah mengenal pasti dua stadium yang sesuai untuk dijadikan sebagai gelanggang rasmi PKNP FC. Segalanya telah memasuki rundingan fasa akhir dan saya harap ia dapat disahkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.