Zainol Fadzi berkata, beliau juga masih belum menerima sebarang jawapan daripada PKNP FC dan mengesahkan sedang dalam status berehat sementara menunggu jawapan tersebut. 

"Saya menerima jawatan ini pun atas permintaan Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi PKNP, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. 

"Jadi, saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dan saya fikir PKNP FC sekarang boleh bergerak sendiri. Mengenai status saya itu, kelab yang akan tentukan dalam mesyuarat. Saya kini sedang berehat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Durian Bersama Media di sini sebentar tadi. 

Kosmo! Online pada 22 Julai lalu melaporkan, Zainol Fadzi menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden PKNP FC selepas kelab tersebut tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan. 

Mengulas mengenai pembubaran PKNP FC, keputusan tersebut akan diputuskan pengurusan kelab dan apa pun keputusannya perlu dimaklumkan kepada Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PKNP. 

"Bubar kelab, teruskan bermain di Liga Perdana atau menjadi feeder club (kelab pelapis) kepada Perak, itu semua bergantung kelada pengurusan PKNP. 

"Apa yang pastinya, jika PKNP FC masih kekal, ia memerlukan kos tinggi untuk menguruskannya," katanya. 

Katanya, pencapaian PKNP FC pada tahun ini tidaklah teruk sehingga dibolosi lima atau sepuluh gol dalam satu-satu perlawanan.

"PKNP FC hanya kalah tipis sama ada 2-1 atau 1-0. Jika diikutkan dengan dana yang diperolehi, itulah pencapaian yang mampu PKNP FC berikan kepada pihak pengurusan," katanya. - K! ONLINE