Pique membuat pengumuman tersebut menjelang aksi Supercopa de Espana bertemu Sevilla dan dia sudah memaklumkan perkara itu kepada jurulatih baharu La Roja, Luis Enrique.

“Saya telah bercakap dengan Enrique dan memaklumkan kepadanya bahawa itu adalah keputusan muktamad saya.

“Saya menikmati masa terbaik bersama pasukan Sepanyol dan saya sangat gembira kerana menjadi sebahagian daripada kejayaan skuad kebangsaan,” ujarnya.

Penampilan terakhir Pique bersama Sepanyol adalah ketika bersaing pada Piala Dunia 2018 di Rusia bulan lalu dan dia merupakan salah seorang pemain dalam skuad yang menjulang Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.

Pique membuat penampilan pertama pada Februari 2009 ketika Sepanyol menang ke atas England di laman sendiri dan menikmati prestasi terbaik ketika digandingkan bersama kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

Bagaimanapun, keputusan Pique bersara daripada pentas antarabangsa bukan satu kejutan memandangkan bekas pemain Manchester United itu telah memberikan bayangan bahawa Piala Dunia 2018 menjadi kejohanan terakhirnya bersama Sepanyol.

Ia gara-gara pemain berusia 31 tahun itu menjadi mangsa kritikan daripada peminat-pemi­nat sendiri tahun lalu selepas menunjukkan sokongan terhadap memorandum kemerdekaan Catalan biarpun dia masih dipilih oleh bekas jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui ke Rusia. – Agensi